h1

Advencer Omega: Sebuah komentar syok sendiri

November 6, 2008


2008-06-15_211431aaa

Baca cerpen Advencer Omega: Memori dan Identiti di SINI

Advencer Omega: Memori dan Identiti tersiar di Dewan Kosmik pada bulan Jun yang lalu. Ia cerpen pertama saya. Yang PERTAMA yang saya hasilkan dan pertama kali disiarkan di media massa. Dihasilkan semasa saya menganggur pada awal tahun, ia dipengaruhi secara separa sedar oleh Dr. Who. Tetapi sebenarnya saya berfikir tentang Sandman (oleh Neil Gaiman) semasa menghasilkannya. Saya hanya menyedari persamaanya selepas ditegur oleh Saudara Fadz.

kembara_amira_081Watak Amira sebenarnya seorang lelaki tetapi saya menukarnya jantinanya kerana… saya sudah lupa sebenarnya. Nama Amira pula saya ambil dari novel yang dibaca ketika itu iaitu Kembara Amira oleh Amir Hamzah L. Kadir. Mungkin keputusan untuk menukar jantina inilah yang buat Advencer Omega seperti Dr. Who. Nama Omega pula datang dari kehendak saya yang mahu nama yang “cool”. Nama Omega juga akan mengelirukan pembaca tentang asal usulnya dan saya harap itulah yang akan buat penamat cerpen ini kuat. Tetapi saya rasa penamatnya hanya ada impak kepada mereka yang “get it”. Bagaimana pendapat anda?

Advencer Omega sebenarnya cerita tentang kesunyian (yang saya rasakan ketika itu dan sekarang. Ah, kisah peribadi, tidak payah ceritalah), tetapi entah bagaimana konsep memori dan identiti menyelinap masuk. Mereka yang menulis tentu faham tentang situasi ini. Kadang-kadang watak dan cerita boleh “lari” dengan sendiri daripada apa yang kita inginkan. Ah, menarik sekali. Ke mana arah tuju Omega selepas ini? Jika ada cerita yang berbaloi dan menarik untuk diceritakan sudah pasti kita boleh mengembara bersamanya lagi. 

Ada satu bahagian yang tidak konsisten dalam cerpen ini. Cuba cari dan ucapkan tahniah kepada diri jika berjaya menemuinya. Saya malas hendak edit lagi.

h1

Selamat Hari Raya!

September 30, 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin untuk semua.

Anak Perak Anak Melaka,
Anak Sarawak menangkap ikan;
Satu Syawal menjelang tiba,
Ikhtibar Ramadahan jangan dilupakan

h1

Sudah terbit dan berada di pasaran (kecuali di Sarawak!)

September 28, 2008

Saya sedang menunggu buku ini untuk dijual di bandar Kuching. Buku sulung dari sahabat saya Azrul Jaini yang juga  berasal dari Sarawak. Rasanya buku ini sudah berada di kedai-kedai buku di semenanjung, tetapi seperti biasa sungguh lambat hendak sampai di Sarawak. Kenapa tidak beli secara online? Saya ada sebab saya tersendiri. Tahniah buat Saudara Azrul kerana berjaya juga menghasilkan sebuah karya sai fai dan sekaligus mewarnai dunia buku Malaysia.

Sinopsis:

Galaksi Muhsinin adalah satu umat. Mereka berbilang bangsa tetapi bersatu. Mereka maju tetapi bertakwa kepada Tuhan.  Misi mereka cuma satu: menyebarkan rahmat ke serata alam.

Tahun 2205. Keamanan galaksi ini mula tergugat. Orang Zion sentiasa mengintai peluang. Liga Lanun mahukan maruah  mereka kembali. Maharaja Legion pula berikrar melunaskan sumpah maharaja Empayar Sibernatik Cyborg yang pertama.

Konflik tercetus apabila salah sebuah planet yang berlindung di bawah Galaksi Muhsinin cuba dijajah oleh pihak musuh.  Konflik dilanjutkan lagi apabila kapal angkasa yang membawa rombongan haji hilang selepas diserang oleh pasukan yang  tidak dikenali.

Kemakmuran yang dahulunya tiada tolok banding kini di ambang kehancuran. Di bawah kepimpinan Khalifah Zulqarnain,  mampukah Detasmen Mujahidin Elit ke-15 mempertahankan kedaulatan galaksi?”

Blog Rasmi Azrul Jaini DI SINI 
Beli Galaksi Muhsinin DI SINI 
Baca Prolog Galaksi Muhsinin DI SINI 

Sumber Kulit Buku: Bookcafe.com.my

h1

Si Rambut Hijau dan Bunga Kenanga**

September 5, 2008

Saya tidak akan beri alasan mengapa blog ini lama tidak dikemaskini. Hakikatnya ialah saya kemalasan dua sepanjang dua tiga bulan ini. Saya berharap untuk mengubah perkara ini. Jadi saya ambil masa (dan memaksa diri) untuk menulis ’spotlight’ terbaru. Ini ialah sebuah ’spotlight’ dan bukannya sebuah ulasan, jadi anda akan hanya akan dapat baca apa yang saya suka tentang sesebuah buku yang saya telah baca. Sila pergi ke pautan ulasan di bahagian maklumat buku untuk mendapatkan ulasan (yang lebih baik) daripada pembaca lain yang sempat saya temui di internet.

Tajuk: Transgenesis
Penulis: Amir Husaini
Penerbit: PTS Fortuna
Bil. Mukasurat : 376 halaman
Harga: RM 24.00 / RM 27.00 (Sabah & Sarawak)
ISBN: 9879675136023
Blog Rasmi Amir Husaini 
Biodata Amir Husaini 
Laman Web Rasmi PTS 
Ulasan Transgenesis DI SINIDI SINI,  dan DI SINI,
Beli Transgenesis DI SINI 

Sinopsis (dari laman web PTS):

Teknologi memindahkan genetik haiwan dan tumbuhan kepada embrio yang diklonkan daripada manusia sudah ditemui. Kini pakar genetik boleh mencipta manusia dengan kelebihan istimewa. Manusia dengan deria hidu sensitif seperti anjing, misalnya. Ataupun, manusia yang boleh menghasilkan makanan sendiri melalui fotosintesis. Inilah yang dilakukan oleh pakar genetik di Institut Trans-DNA, secara rahsia.

Sehinggalah segala-galanya terbongkar, apabila subjek eksperimen yang terbebas dari makmal mula membunuh orang awam….

Dalam Transgenesis: Bisikan Rimba, Amir Husaini menggabungkan bakat penulisan luar biasa dan pengetahuan saintifik menakjubkan bagi menghasilkan fiksyen sains thriller yang hebat lagi mendebarkan! 

Transgenesis ialah sebuah sai fai tentang sebuah eksperimen yang gagal atau jadi huru hara (macam yang selalu ditulis oleh Michael Crichton*). Apabila eksperimen gagal ini mula mengorbankan nyawa, maka beberapa orang yang berkepentingan mula cuba untuk menyembunyikan hakikat ini. Walaubagaimanapun, ada pula pihak lain yang cuba untuk membongkar misteri ini.

Transgenesis memaparkan pandangan kedua-dua pihak (dan juga ‘hasil-hasil’ eksperimen tersebut). Oleh itu kita tahu motivasi semua pihak. Antagonis dan protagonis digarap supaya kita memahami mengapa mereka melakukan apa yang mereka lakukan. Mungkin ini akan sedikit menghilangkan elemen misteri dalam penceritaan tetapi percayalah bahawa banyak lagi yang disembunyikan oleh Amir Husaini.

Transgenesis ialah sebuah sai fai dan ini ditunjukkan dengan banyak perbualan antara watak tentang cabang sains biologi dan genetik (tidak lupa juga etika). Sebuah sai fai yang baik (pada pendapat saya) mestilah menyertakan persoalan falsafah dan Trangenesis juga tidak menghampakan saya dalam perkara ini. 

Di samping itu, Amir Husaini tidak lupa memasukkan elemen islamik serta ketuhanan dalam Transgenesis. Saya yang terdedah dengan sai fai barat harus akui bahawa sedikit janggal dengan campuran ini. Ini ialah percubaan yang berani. Pada masa sai fai barat sangat memusuhi agama, elemen keagamaan adalah satu yang agak menyegarkan dan juga memberi satu identiti kepada sai fai melayu.

Apa yang saya juga suka dengan Trangenesis ialah kejutan yang diberikan pada penghujung cerita. Saya memang tidak sangka bahawa kisah ini akan bersambung, walaupun sebenarnya cerita yang terkandung di dalam buku ini sendiri ’self contained’. Babak ala Sherlock Holmes pada penghujung juga memang sangat sureal buat saya.

Transgenesis ialah sebuah bacaan yang baik serta mempunyai identitinya tersendiri dengan mesej islamik dan moralnya. Ceritanya lancar dan penuh misteri. Tahniah Amir Husaini!

*Michael Crichton selalu menghasilkan karya sai fai yang bertemakan “Frankenstein”. Sains yang cuba bertindak seperti Tuhan akan selalunya membawa kemusnahan (lihat Jurassic Park dan Timeline).

**Si Rambut Hijau dan Bunga Kenanga? Nampaknya saya sudah hilang sentuhan….

h1

Kerja!

Julai 14, 2008

Hari ini sudah masuk 10 hari berturut-turut saya berkerja di pejabat (termasuk hari minggu). Balik dari pejabat pun waktu malam.

MQA akan datang untuk buat audit di tempat saya berkerja minggu hadapan. Masyaallah, banyak benar kerja yang hendak dibuat. Saya hampir tidak punya masa untuk membaca, apatah lagi menulis.

Insyaallah selepas ujian yang melanda ini reda sedikit saya akan mula tulis mengenai satu buku yang sedang saya baca sekarang. Sebuah buku berjudul “Sisa-sisa Planet” oleh Zailani Taslim.