
Inspirasi: Dari Monster Hunter ke Saga Wyvern
Jun 20, 2007Inspirasi saya untuk menulis Saga Wyvern ialah daripada game yang saya main di konsol PSP saya. Nama game itu ialah Monster Hunter Freedom.
Monster Hunter Freedom ialah salah satu judul dari siri permainan video Monter Hunter yang berasal dari Jepun. Sudah ada lima interasi game dalam siri Monster Hunter setakat ini. Dalam game Monster Hunter, pemain ialah seorang pemburu yang pergi memburu berseorangan atau berkumpulan. Antara jenis-jenis raksasa yang boleh diburu ialah raksasa yang kelihatan seperti dinosaur, burung raksasa, babi hutan raksasa dan juga cacing raksasa. Tapi apa yang paling saya suka ialah aksi ketika memburu raksasa seperti naga iaitu Wyvern. [Jangan lupa klik (more...) untuk sambungan entri]
Seperti biasa, saya lebih tertarik kepada art design dan jalan cerita game itu sendiri daripada bermain. Dan art design dalam game ini sangat cantik dan menarik hati saya. Wyvernnya nyata kelihatan ganas dan menakutkan. Rekaan baju perisai dan senjata pemburu “outlandish” dan “over the top”.
Sekumpulan manusia lengkap dengan baju perisai berlawan dengan Wyvern…Hmmm…
Walaupun game ini termasuk dalam genre RPG (Role Playing Game) game Monster Hunter itu sendiri tidak mempunyai jalan cerita seperti kebiasaannya dalam genre RPG. Ini memberi inspirasi kepada saya untuk menulis tentang kumpulan pemburu wyvern. Tapi jika hanya cerita tentang orang pergi berburu tentu membosankan.
Jadi saya masukkan elemen-elemen tambahan dari klise (dan ada juga sedikit original) fantasi dalam jalan cerita asal Pemburu Wyvern dan memfokuskan hanya kepada seorang pemburu yang saya jadikan sebagai hero. Tapi ini bukan Naruto versi pemburu. Dalam proses mengolah cerita untuk Saga Wyvern saya banyak berfikir secara visual. Visual wyvern dan naga yang diingat dari game Monster Hunter itu sendiri dan juga filem Reign of Fire banyak mempengaruhi saya. Rupa bentuk karakter juga diolah secara visual dahulu dalam otak saya. Sebelum ada cerita, sudah ada dalam visual imaginasi saya hero lengkap berperisai bertempur dengan raksasa menggunakan golok besarnya dan dibantu oleh rakannya yang menggunakan senapang gajah 50mm.





