h1

BERITA DAN CERITA TERGEMPAR!!! YAY!!!

Jun 5, 2008

Saya ada satu cerita petang ini. Tiada langsung kaitan dengan kenaikan harga minyak mulai hari ini.

Saya sedang berehat di hadapan televisyen setelah makan malam sementara menunggu waktu maghrib tiba. “Abang, nah… Ini surat daripada DBP kepada abang.”

Adik saya memberikan sebuah sampul surat berwana putih yang sedikit besar. Tertera alamat DBP di bahagian atas dan alamat rumah di tengah.

“Oh, mungkin ini surat “Rejection” untuk cerpen yang pernah saya hantar kepada Dewan Kosmik empat atau lima bulan yang lepas. Tetapi sampul surat ini ternyata sedikit ‘berisi’,” fikir saya sambil merasa-rasa sampul itu dengan tangan.

Saya pun membuka sampul itu dan terus dapat lihat sebuah majalah di dalam sampul itu. “Eh, mengapa pula DBP susah-susah kirimkan saya…. Adakah?”

Majalah itu terus dikeluarkan dari sampul. “Dewan Kosmik!”

Tanpa membuang masa, bahagian belakang majalah diselak. Ruangan Cerpen Sains Fiksyen diperiksa. Nama penulis terus diteliti.

‘…oleh ABDUL MU’MIN JARNI…’

Tajuk cerpen pula diperhati.

‘…ADVENCER OMEGA Memori dan Identiti…’

Untuk pengetahuan sesiapa yang tidak tahu, ABDUL MU’MIN JARNI ialah nama saya dan ADVENCER OMEGA Memori dan Identiti ialah cerpen yang saya sumbangkan kepada Dewan Kosmik beberapa bulan lepas.

Ini bermakna saya boleh tulis ‘Penulis Sai Fai’ pada kad nama saya jika suatu hari nanti saya ada kad nama. Walaubagaimanapun, perkara yang lebih penting sekarang ialah untuk sesiapa sahaja yang membaca entri ini untuk BELI majalah Dewan Kosmik Edisi Jun 2008. Terus sahaja pergi ke muka surat 62 dan baca ADVENCER OMEGA Memori dan Identiti!!!

Alhamdulillah, karya pertama saya telah tersiar di Majalah Kosmik Edisi Jun 2008. Terima kasih kepada timbalan editor Dewan Kosmik, En. Khairulanuar Manshor kerana sudi memberi peluang kepada Advencer Omega.

Beribu-ribu terima kasih juga kepada Puan Ainon Mohd yang mendedahkan saya kepada Teknik Surah Yusuf yang telah digunakan untuk menghasilkan Advencer Omega. Juga kepada Saudara Firdaus Ariff kerana berkongsi ilmu tentang pengkaryaan.

Sekali lagi, jangan lupa beli Dewan Kosmik bulan ini. Harga minyak naik bukan alasan. Hehehe…

h1

Antara Pedang dan Tulang Besi

Jun 3, 2008

Tajuk: Saga Horizon
Penulis: Muhammad Fadli al-Akiti (Fadz)
Penerbit: Alaf 21 Sdn. Bhd
Bil. Mukasurat : 490 halaman
Harga: RM 17.00
ISBN: 9789831243527
Laman Web Rasmi Muhammad Fadli al-Akiti
Laman Web Rasmi Alaf 21

Daripada gambar kulitnya kita tidak akan dapat menduga apa yang dihidangkan kepada kita pada babak kedua novel ini. Sangkaan saya ialah ini karya sai fai ala-ala Mad Max (saya hanya pernah tonton yang ketiga, Beyond Thunderdome) ataupun game Fallout. Tetapi hakikatnya Saga Horizon lebih hampir kepada Dune, Terminator dan Neuromancer daripada Mad Max. Berbeza dengan Jian sebelum ini, Fadli telah menghasilkan “raksasa” yang berlainan. Bak kata rakan saya yang tinggal di ghetto Los Angeles, “Yo! This is heavy s**t, man!”

Saga Horizon mengisahkan tentang Rouge, seorang askar upahan di sebuah dunia pasca apokaliptik sekitar kurun ke-30. Suatu peristiwa yang dipanggil Malapetaka Maha telah menyebabkan dunia dikuasai Jembalang Bertulang Besi yang ligat membunuh umat manusia. Rouge dan beberapa orang askar upahan yang lain telah ditugaskan untuk menjalankan suatu misi yang akhirnya akan membongkar rahsia penguasaan dan asal usul Jembalang Bertulang Besi.

Cerita Saga Horizon hanya benar-benar bermula di bahagian kedua iaitu [sedikit spoiler di hadapan] selepas Rouge dan rakan-rakannya berjaya dalam misi mereka. Bahagian kedua Saga Horizon memperkenalkan set watak yang baharu dan timeline yang berlainan. Bahagian ini menceritakan asal usul kejadian Malapetaka Maha dan Jembalang Bertulang Besi. Walaubagaimanapun, kita akan menemui Rouge kembali pada bahagian ketiga Saga Horizon [tamat spoiler].

Seperti yang saya terangkan pada bahagian permulaan, kewujudan bahagian kedua Saga Horizon benar-benar mengejutkan dan membuat saya mengaru kepala. Ton penceritaan (definisi yang agak ‘loose’ di sini) berubah 180 darjah, seoalah-olah sebuah cerita sai fai yang berlainan telah diselitkan. Tetapi ini bukan bermakna bahagian ini mencacatkan Saga Horizon. Sebaliknya ia bahagian integral dalam menjelaskan motivasi dan tindakan watak-watak lain dalam Saga Horizon.

Penekanan kepada falsafah membuat Saga Horizon sangat berlainan dan lebih “berat” daripada karya sai fai tempatan yang lain kerana menyentuh konsep evolusi dan kemanusian. Saya kagum dengan keupayaan Fadli mempersembahkan karya sai fai yang kompleks sebegini. Walaupun diselitkan babak aksi, saya lebih tertarik dengan aspek ini.

Apabila membaca Saga Horizon saya teringat kandungan sebuah temubual bersama penulis sai fai yang pernah saya dengar. Beliau menyatakan bahawa antara kelebihan karya dalam genre sai fai katanya ialah betapa sesuainya medium sai fai untuk menyajikan sebuah fiksyen yang membicarakan tentang falsafah dan isu yang sukar disajikan dalam fiksyen genre yang lain.

Saga Horizon telah membuktikan kenyataan tersebut. Walaupun ada satu atau dua konsep yang saya sendiri tidak setuju terdapat dalam Saga Horizon (saya tidak setuju dengan konsep-konsep yang sama dalam Battlestar Galactica), saya boleh kunyah dan telan kerana itulah semangat sai fai.

h1

Saintis dan Zombi

Mei 6, 2008

Tajuk: Jian
Penulis: Muhammad Fadli al-Akiti (Fadz)
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Bil. Mukasurat : 238 halaman
Harga: RM 10.00
ISBN: 9836283943
Laman Web Rasmi Muhammad Fadli al-Akiti
Laman Web Rasmi Dawama
Laman Web Rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka
Beli Jian DI SINI

Jian adalah antara buku sai fai melayu pertama yang saya baca dan novel pertama Muhammad Fadli al-Akiti (lebih dikenali sebagai Fadz, dan sangat ‘glamour’ dengan blog filemnya, Tonton Filem dan Kubu Buku).

Jian bukan sahaja ada saintis tetapi ia juga ada zombi. Maksud saya di Jian ada zombi… dan beberapa orang saintis selain beberapa orang kampung yang separa gila. Ya, Jian ialah nama sebuah daerah di Pahang di mana semua malapetaka yang diceritakan di dalam buku ini berlaku.

Kisah bermula apabila Dr. Amrin dan sahabatnya Dr. Leon menerima tawaran daripada seorang lelaki misteri bernama Dr. Razak untuk menyertai sebuah kumpulan penyelidik. Mereka ditugaskan untuk menyiasat dan menyelidik kesan daripada sebuah eksperimen kerajaan Malaysia yang mengalami malapetaka di sebuah kampung di daerah Jian 13 tahun sebelum itu.

Kedatangan kumpulan saintis ini dengan menyamar sebagai doktor-doktor yang ingin membuka sebuah klinik swasta di Jian dicurigai oleh ketua kampung (hmm… bijak juga orang tua ini) dan ini membawa beberapa konflik antara orang kampung dengan kumpulan saintis ini. Penyiasatan saintis-saintis ini juga serba sedikit membongkar rahsia yang ingin disimpan oleh penduduk kampung itu. Selain orang kampung dan saintis yang berada di Jian, terdapat juga subplot yang melibatkan juruteknik-juruteknik di sebuah stesen satelit.

Kebanyakan elemen sains yang ditunjukkan dalam Jian adalah berkaitan mikrobiologi. Satu cabang sains yang jarang ditemui dalam karya sai fai melayu yang pernah saya baca (kebanyakannya berkaitan angkasa). Babak eksperimen dipaparkan dengan teliti dan selari dengan cerita lalu mengelakkan ‘info dump’. Selain itu penggunaan rajah juga membantu pemahaman pembaca terhadap beberapa unsur teka-teki dalam cerita.

—mula ’spoiler’—

Jika dalam filem zombi George Romero tidak pernah dijelaskan tentang asal usul kejadian zombi yang mengancam survival hero dan heroin, Fadz menerusi Jian bertindak sebaliknya dengan mengaitkan kejadian zombi dengan eksperimen yang telah dijalankan.

—tamat ’spoiler’—

Selain itu, saya juga sangat suka babak aksi di hujung cerita yang suspen tahap dewa. Memang benar-benar mendebarkan dan antara adegan paling suspen yang pernah saya baca. (Babak bayar wang tebusan dalam “Satu Janji” karya Ramlee Awang Mursyid berada pada tahap paling suspen dalam senarai saya)

Akhir kata Jian ialah sebuah karya sai fai yang menghiburkan. Bahasa yang digunakan dan unsur saintifk yang dipaparkan adalah mudah. Jian sangat berbaloi dimiliki apatah lagi dengan harga yang begitu murah.

h1

Cosmo dan Cenma Detara

Mei 4, 2008

Judul : Puisi Untuk Ezdyzuar
Penulis : Nisah Haron
Penerbit : Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd
Bil. Mukasurat : 312 halaman
Harga: RM 21.90
ISBN: 9789831922002
Laman Web Rasmi Nisah Haron
Laman Web Rasmi Al-Ameen Books
Beli Puisi untuk Esdyzuar DI SINI

Pernah disiarkan secara bersiri di majalah Tunas Cipta, ‘Puisi untuk Ezdysuar’ ialah novel ketiga Nisah Haron. Cerpen fantasi beliau, ‘Atlantis Duniaku Duniamu’, ‘Annyss Sophilea’, dan ‘Anugerah Amariss’ pernah memenangi hadiah sastera. Annyss Sophilea pula terpilih sebagai bacaan wajib KOMSAS.

Puisi untuk Esdyzuar berlaku di sebuah dunia yang terbahagi dua. Cosmo yang terletak di atas tanah dan Cenma Detara, sebuah dunia kristal di bawah tanah. Walaupun dipisahkan dengan hanya satu lapisan bumi, Cosmo dan Cenma Detara nyata berbeza dengan penduduk Cenma Detara mempunyai umur yang lebih panjang dan menggunakan teknologi yang berasaskan kristal. Pertembungan tamadun berlaku antara dua dunia ini apabila seorang arkelogis Cosmo bernama Esdyzuar dituduh melakukan jenayah di Cenma Detara.

Puisi untuk Esdyzuar diceritakan menggunakan sudut pandangan pertama dari kaca mata Aidynna, seorang peguam muda Cosmo yang ditugaskan untuk mewakili Esdyzuar. Walaubagaimanapun, konflik kepentingan berlaku apabila jenayah yang kononnya dilakukan oleh Esdyzuar melibatkan sesuatu daripada kehidupan Aidynna yang lampau.

Berbeza dengan karya fantasi lain yang pernah diterbitkan, Puisi untuk Esdyzuar tidak dipenuhi dengan adegan penuh aksi atau magik walaupun masih terdapat serba sedikit elemen fantasi dalam bentuk penggunaan teknologi kristal dan teleportasi serta Cenma Detara sendiri. Puisi untuk Esdyzuar boleh dikategorikan sebagai Thriller Fantasi kerana ia bergerak seperti sebuah drama penyiasatan tetapi berlatarbelakang sebuah dunia fantasi. Jika dibuang elemen fantasinya, Puisi untuk Esdyzuar boleh berlaku di dunia realiti.

Puisi untuk Esdyzuar memaparkan sebuah cerita yang menarik dan watak utama yang kuat. Walaupun saya sebagai seorang lelaki mempunyai sedikit masalah apabila membaca sudut pandang seorang wanita terutamanya apabila melibatkan emosi, oleh kerana Aidynna bukan watak wanita yang tipikal, tidak terlalu banyak ayat-ayat keluhan yang saya perlu tempuhi. Tetapi mengapakah Esdyzuar begitu menjengkelkan?

Harapan saya Nisah Haron akan menghasilkan lebih banyak lagi karya fantasi yang berkualiti. Saya amat teruja jika dapat melawat kembali Alstonia ataupun Octantis.

h1

Sudah terbit dan berada di pasaran 2

Mei 1, 2008

Selain dua buku yang saya paparkan sebelum ini, sebuah lagi buku fantasi yang saya tertunggu-tunggu untuk baca ialah Urana Exham oleh Kusyi Hirdan. Diterbitkan oleh PTS Fortuna, Urana Exham ialah salah satu judul dalam barisan sai fai dan fantasi PTS.

“Tahun 4050. Dunia Oshab bergolak. Tiga bangsa majoriti berebut kuasa. Bangsa-bangsa minoriti menjadi mangsa. Pemimpin yang didorong dendam dan tamak haloba, dengan bala tentera separuh robot separuh manusia, bersengketa sesama mereka.
Exham, cucu pemimpin bangsa majoriti Super, dan Suryan M, abang pemimpin bangsa majoriti Madawi, berpaling tadah dan bersatu. Mereka membentuk persatuan pemberontak Medex, kumpulan yang beroperasi secara haram demi menghapuskan kezaliman di Dunia Oshab. Urana, gadis dari kaum minoriti Songkok, menyertai Medex. Di situ Urana bertemu Exham.
Pertemuan itu sungguh bererti, namun pertemuan itu jugalah yang mencetus tragedi….”
Sinopsis dan foto diperoleh dari laman web PTS.

Songkok? Lapan hari lagi….

Laman Web Rasmi Kusyi Hirdan
Beli Urana Exham DI SINI