Ulasan: Love Letter (1995)

Berikut ialah ulasan yang saya buat untuk blog saya yang terdahulu yang saya gelar Dialog Diri (sudah saya musnahkan). Saya agak terkejut apabila membaca ulasan antik ini kerana mendapati tulisan saya tidaklah seburuk mana. Nampaknya masih ada harapan untuk saya!!!

Oleh itu saya mempersembahkan, dari arkib “Blog Dialog Diri”, ulasan saya untuk sebuah filem cinta terhebat, Love Letter!!!

Perihal sebuah warkah cinta

Ini bukan sebuah ulasan filem dalam erti kata yang sebenar, jadi tulisan ini penuh bias dan sangat kurang dengan kritikan yang bersifat profesional. Spoiler telah saya cuba minimumkan. Baca atas pertimbangan anda sendiri.

 loveletter_p.jpg

Antara filem kegemaran saya ialah The Godfather Part 1 dan Love Letter. Semua peminat filem atau orang kebanyakan sekalipun tahu akan filem The Godfather. Oleh itu saya akan cuba menulis perihal Love Letter kerana tidak ramai yang tahu tentang filem ini walaupun RTM pernah menyiarkannya suatu masa dulu. Jika anda cari di IMDB.com, ada kira-kira sebelas buah filem yang menggunakan judul Love Letter di seluruh dunia. Saya sendiri telah menonton dua filem yang berjudul Love Letter. Sebuah filem dari Jepun dan sebuah lagi telefilem dari Amerika Syarikat. Love Letter yang akan saya perkatakan dalam ruangan ini ialah filem Love Letter dari Jepun arahan Shinji Iwai dan diterbitkan pada tahun 1995.

Saya tonton filem dalam format VCD sekitar tahun 2000. Pada tahun tersebut saya mengalami fasa “semua produk Jepun adalah hebat”. Satu fasa yang saya sangat malu hendak perkatakan dengan lebih teliti. Cukuplah dengan saya beri klu-klu seperti anime, jpop, jrock dan drama jepun. Tapi saya beli VCD ini bukan kerana kerana “penyakit” yang saya alami tetapi atas ulasan yang dibuat oleh seorang pengarang dalam suatu majalah politik tempatan yang saya sudah lupa namanya (mungkin Tamaddun). (Edit: Setelah disiasat. Penulis tersebut ialah Faisal Tehrani! )

Love Letter mengisahkan Hiroko Watanabe (Miho Nakayama) yang telah kematian tunangnya bernama Fuji Itsuki setahun yang lalu akibat kemalangan semasa mendaki gunung. Oleh kerana, terlalu sedih dan mungkin sebagai cara untuk mengubat hatinya, Hiroko menulis sebuah surat yang dialamatkan kepada tunangnya yang telah meninggal, menggunakan alamat yang dia peroleh dari buku sekolah atau majalah sekolah lama mendiang tunangnya semasa mendiang dan keluarganya tinggal di Otaru (sekarang keluarga Fuji tinggal di Kobe). Walaupun diberitahu oleh ibu Fuji bahawa rumah tersebut telah dirobohkan untuk pembinaan lebuh raya, Hiroko tetap menulis surat tersebut dengan mesej:

“Dear Fujii Itsuki. How are you? I am fine – Hiroko Watanabe”

“Kehadapan Fuji Itsuki. Anda apa khabar? Saya baik sahaja – Hiroko Watanabe”

Hiroko tidak mengharap surat itu akan sampai kepada Fuji tetapi surat tersebut sampai juga ke tangan Fuji. Tetapi Fuji Itsuki tersebut adalah seorang wanita (juga dilakonkan oleh Miho Nakayama) yang mempunyai nama yang sama dengan mendiang tunangnya. Itsuki (perempuan) pun membalas surat tersebut. Jadi kita pun tahu bahawa mendiang tunang Hiroko, Fuji ada seorang rakan sekelas perempuan yang mempunyai nama yang sama dengannya (Fuji dan Itsuki adalah cara saya untuk membezakan mereka berdua dalam tulisan ini). Sepanjang filem ini Hiroko dan Itsuki berbalas surat dan Itsuki menceritakan dan mengenang kembali zaman persekolahan dengan Fuji. Selain itu terdapat juga subplot mengenai keluarga Itsuki, kesedihan Hiroko dan perhubungannya dengan rakan karib Fuji, yang bernama Akiba (Etsushi Toyokawa).

Bahagian yang saya paling suka dalam filem ini ialah babak-babak imbas kembali Itsuki (watak itsuki muda dipegang oleh Miki Sakai) tentang zaman persekolahan dan “pertembungan”nya dengan Fuji (Takashi Kashiwabara). Babak-babak ini sangat nostalgik dan membangkitkan kenangan zaman persekolahan saya sendiri. Di samping itu filem ini juga menyajikan sinematografi dan babak-babak musim sejuk paling indah pernah saya saksikan dalam sebuah filem. Jalan cerita dan naratifnya amat kuat disertakan pendedahan di hujung filem yang hampir-hampir membuat saya menangis.

Love Letter ialah filem cinta terbaik pernah saya saksikan. Ini adalah kerana CINTA dalam filem ini dipaparkan dalam bentuk yang tidak ketara dan hampir-hampir mengikut syarak, bentuk yang paling saya sukai jika bercakap tentang cinta. Kesedihan Hiroko atas kematian Fuji dan kisah silam Fuji dan Itsuki sudah cukup untuk menggengam hati dan perasaan penonton sambil menimbulkan tema cinta yang kuat. Filem ini tidak perlu adegan pikat memikat, berpegangan tangan (haram!) di pantai sambil melihat matahari terbenam atau di taman bunga sambil menghirup udara segar. Tiada ungkapan jiwang bodoh bersalutkan karat yang hampir-hampir syirik seperti “Aku cinta padamu”, “Engkau terjun, aku pun terjun”, “Biarlah aku tanggun dosa ini”, “Bagaimana aku nak hidup tanpamu”. Tidak macam filem atau drama percintaan Korea (saya sudah katakan bahawa saya bias). Filem dan drama melayu apatah lagi (termasuk Sepet). Pada pendapat saya filem cinta tidak perlu akan babak-babak maksiat seperti yang saya sebut. Apabila elemen cinta dipaparkan dalam bentuk yang halus, ia akan lebih memberi kesan kepada penonton.

Akhir kata, Love Letter ialah filem cinta yang mempunyai cerita asli yang paling baik dengan sinematografi dan babak-babak paling indah pernah pernah saya saksikan. Tontonilah filem ini jika anda sudah muak dengan “sampah-sampah” yang media popular sajikan pada masa sekarang. Tonton filem ini juga jika anda belia yang benci maksiat macam saya.

2 thoughts on “Ulasan: Love Letter (1995)

  1. anis sarah berkata:

    salam…
    saya juga pernah menonton filem itu dan itulah filem cinta paling mengesankan untuk saya. kalau filem tu ada lagi pun, saya sanggup menontonnya. mencari dvdnya dan masih belum berjumpa. kalaulah ada filem melayu yang begitu… selain filem ini, filem cinta lain yang saya gemari adalah ‘Daisy’, produk dari Korea. juga ‘turn left turn right’🙂

  2. warisjagat berkata:

    Waalaikumsalam,

    DVD Love Letter boleh dibeli di sebuah kedai menjual DVD di Time Square (Kuala Lumpur)di Tingkat 3 atau 4. Saya tidak ingat nama kedai itu tapi ia satu-satunya kedai jual DVD di situ.

    Daisy dan Turn Left Turn Right, hmmm, saya agak tidak suka filem Korea…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: