Advencer Omega: Memori dan Identiti

 

“Omega, sudah berapa lama awak mengembara?” tanya Amira kepada Omega.

Omega berpaling daripada buku yang dibacanya kepada Amira. “Saya mula mencipta mesin dimensi ini ketika saya berumur tujuh tahun. Sepuluh tahun selepas itu, saya mula menggunakannya. Jika diambil kira proses penciptaannya sebagai satu pengembaraan, maka saya sudah mengembara selama dua ratus empat puluh lima tahun atau lebih.”

Mata Amira terbuka bulat-bulat. Dia bangkit dan berjalan ke arah Omega. Kemudian, pandangannya turun naik meneliti rupa paras Omega. Walaupun hanya disinari cahaya bulan, Amira boleh nampak dengan jelas raut wajah dan susuk badan Omega.

“Tidak mungkin kamu berumur dua ratus lebih tahun. Rupa parasmu hampir sebaya saya. Barangkali tidak lebih daripada tiga puluh tahun,” Amira membantah.

“Oh, saya awet muda kerana saya telah menjalani satu prosedur di Negara Delos. Ia membuat saya panjang umur dan mengekalkan paras rupa saya ketika prosedur itu dijalankan. Penjelajahan saya di Delos adalah satu episod yang menarik, satu hari nanti saya akan menceritakan….”

“Jadi kamu memang benar-benar berumur dua ratus tahun lebih?” celah Amira, masih kurang percaya.

“Ya,” balas Omega ringkas. Omega bangkit dan menghela nafasnya. Dia meneliti alat seperti jam yang terdapat pada tangan kirinya. “Masa hampir tiba. Adakah kamu sudah bersedia?” Omega menoleh ke arah Amira.

Amira angguk. “Saya sudah bersedia semenjak awak mengajak saya sebulan yang lepas,” kata Amira sambil tersenyum.

“Bagus, kita akan ke dimensi Hartol sebentar lagi. Kita akan berada di sana selama dua minggu dan kembali ke dimensi awak selepas itu.”

“Selepas itu awak akan ke mana?” tanya Amira.

“Saya akan kembali ke Hartol.”

“Maksud saya, selepas awak menghantar saya balik ke sini dan kembali ke Hartol. Apakah destinasi awak selepas itu?”

“Saya akan kembali meneruskan pencarian saya untuk kembali ke dimensi asal,” balas Omega. Raut wajahnya berubah selepas diingatkan tentang dimensinya sendiri.

“Saya pasti awak akan menemui kembali dimensi awak suatu hari nanti. Bukankah awak seorang super genius,” kata Amira cuba menyenangkan hati Omega.

“Tidak, Saya tidaklah sepintar yang awak sangka. Saya bernasib baik kerana menemui dimensi Hartol selepas seratus lima puluh lima tahun mengembara secara rambang. Di situlah saya belajar cara kembali ke mana-mana dimensi yang saya telah pergi, dengan memperoleh ‘memori identiti’ setiap dimensi sebelum meninggalkan dimensi tersebut.”

Omega mengeluh lalu melemparkan pandangannya ke angkasa, ke arah bintang-bintang di langit. “Malangnya saya tidak ada ‘memori identiti’ untuk dimensi saya sendiri. Apa yang boleh saya buat ialah mengembara ke dimensi lain secara rambang dan berharap bahawa destinasi rambang seterusnya ialah dimensi asal saya. Tetapi saya sendiri tidak pasti sama ada saya dapat bertahan lagi selepas dua ratus tahun ini mengembara,” sambung Omega.

Amira hampir kehilangan kata-kata apabila mendengar rintihan hati Omega. Sepanjang perkenalanya dengan Omega, dia sendiri tidak pernah menyaksikan Omega sebegitu.

“Apa yang boleh aku katakan? Aku harus bersikap adil. Dua ratus tahun terpisah dari keluarga dan merasa kerinduan itu pada setiap detik. Dia juga tidak pasti keadaan keluarganya, entah hidup atau sudah mati. Tidak mungkin aku dapat memahami kesedihan yang dia alami,” kata Amira dalam hati.

“Bersabarlah, Omega. Berkat doa dan usahamu yang tidak mengenal erti putus asa. Saya percaya suatu hari nanti pasti kamu akan berjaya. Seperti kata kamu tadi, kemungkinan pengembaraanmu yang seterusnya akan membawa kamu kembali ke dimensi asalmu. Insyaallah,” ujar Amira akhirnya.

Senyuman terukir pada wajah Omega. “Betul kata-katamu itu. Saya tidak harus berputus asa selepas dua ratus tahun. Mungkin ini adalah anugerah Allah kepada saya. Tidak banyak manusia yang mempunyai peluang yang saya miliki. Lagipun, jika saya tidak tercari-cari dimensi saya secara rambang sebegini, saya tidak akan bertemu kamu dan ayahmu.”

Alat berwarna putih pada tali pinggang Omega tiba-tiba mengeluarkan bunyi amaran, mengejutkan Omega dan Amira.

“Ia sudah habis dicaj. Kita boleh pergi sekarang. Kamu pasti kamu tidak terlupa apa-apa yang kamu ingin bawa bersama?” tanya Omega kepada Amira.

Kedua-dua tangan Amira menepuk-nepuk beg galas yang berada di belakangnya.

“Semuanya ada di dalam beg ini, kecuali ayah saya.” Amira ketawa.

“Maafkan saya. Saya kesal kerana tidak dapat membawa Pakcik Samad sekali. Tetapi, alat ini hanya boleh manampung jisim dua orang manusia.”

“Tidak apa. Kami faham. Mungkin pada lain kesempatan, ayah saya boleh turut sama.”

“Haha, ya. Pada kesempatan yang lain, insyaallah,” ujar Omega.

Mata Omega melilau melihat keadaan sekeliling dewan yang terbiar itu sebelum menekan butang pada alat yang kelihatan seperti jam pada lengannya. Tidak semena-mena, satu hologram terpancar, memaparkan satu imej yang Amira lihat seperti antara muka dengan simbol dan nombor. Omega pernah memberitahu Amira bahawa alat seperti jam yang dipakainya itu ialah konsol mesin dimensi. Mesin dimensi itu sendiri ialah tali pinggang yang melilit pinggangnya.

Jari-jemari Omega ligat menyentuh imej hologram yang terpapar di udara, seperti menaip sesuatu. Amira yang terpesona, menghampiri Omega untuk melihat lebih dekat imej hologram yang begitu jelas dan padu.

“Antara muka hologram ini ialah hasil ubahsuai saya daripada teknologi komunikasi salah satu dimensi yang pernah saya lawati. Sebelum itu, antara muka yang saya gunakan adalah sebesar kenderaan kereta yang ada di dimensimu,” jelas Omega setelah menyaksikan ketakjuban Amira.

“Nah, ini ialah satu faedah daripada pengembaraanmu! Pengembaraanmu ialah satu kembara ilmu dan teknologi pada darjah paling tinggi!”

“Sekali lagi kamu betul,” balas Omega sambil tersenyum. Dia memegang bahu Amira.

“Kamu bersedia?” tanya Omega.

“Ya,” sahut Amira sambil mengangguk.

“Baiklah, kita akan pergi… sekarang.”

Omega menekan satu butang pada antara muka hologram dan dalam sekelip mata sahaja Amira menyedari dirinya sudah tidak lagi berada di atas bangunan pangsapurinya. Mereka sekarang berada di dimensi yang bernama Hartol, di dalam sebuah kompleks yang berbentuk kubah.

Amira mengingat kembali apa yang dia tahu tentang Hartol berdasarkan cerita Omega. Hartol boleh dikatakan hab pengembaraannya dimensi. Walaubagaimanapun, Hartol bukanlah ibu kota kepada dimensi yang lain. Tetapi merupakan satu-satunya dimensi yang mempunyai warga manusia yang mengetahui kewujudan dimensi yang lain serta mempunyai pengembara dimensinya sendiri. Maka hartol menjadi pusat kegiatan pengembara dimensi yang ada, termasuk Omega.

Di sinilah Omega mendapat tahu tentang ‘memori identiti’ yang membolehkan pengembara dimensi untuk kembali ke dimensi yang mereka telah pergi sebelum ini. Tetapi sebelum kehadiran Omega ke Hartol, perkembangan pengetahuan warga Hartol sendiri mengenai perjalanan antara dimensi telah lama terbantut. Perkongsian maklumat antara Omega dan saintis Hartol telah menghasilkan kemajuan positif dalam bidang tersebut.

Semua ini membuat Amira tidak terkejut apabila mereka berdua disambut baik oleh saintis-saintis Hartol yang mereka temui sebaik sahaja mereka berdua tiba. Antara saintis Hartol yang menyambut mereka berdua ialah rakan baik Omega, saintis yang bernama Azriz Asperius.

“Kamu tidak pernah membawa sesiapa dari dimensi lain kembali bersamamu Omega. Adakah Amira ini seorang yang istimewa?” kata Azriz sambil tersengih. Amira senyum tersipu-sipu mendengar komen Azriz itu.

Omega ketawa sebelum berkata, “Kamu jangan bergurau atau hendak mengada-ngada dengan saya. Nah, caskan alatan saya. Selepas ini saya terpaksa ke Jabatan Dimensi untuk mendaftarkan kehadiran Amira. Malam nanti kita semua akan makan malam bersama supaya saya dapat menceritakan tentang pengambaraan saya dan Amira, bagaimana?”

“Baiklah, tempat biasa malam ini,” jawab Azriz sambil mengangguk dengan sengih masih belum pudar dari wajahnya.

Omega membuka tali pinggang yang menjadi mesin dimensinya lalu memberikannya kepada Azriz. Sebuah cakera heksagon juga berpindah tangan kepada Azriz.

“Apa yang awak berikan kepada Azriz tadi ialah ‘memori identiti’ bukan?” Amira menduga.

“Ya, cakera heksagon tadi menyimpan ‘memori identiti’ untuk duniamu. ‘Memori identiti’ itu akan disimpan pengkalan data yang saya cipta untuk kegunaan pengembara dimensi yang lain. Sebelum terciptanya pengkalan data tersebut, ‘memori identiti’ yang ada pada seseorang pengembara dimensi hanya boleh digunakan oleh pengembara dimensi itu sendiri. Jika pengembara itu mati, maka hilanglah segala maklumat tentang dimensi yang dia pernah pergi.”

“Apa yang sebenarnya terdapat pada ‘memori identiti’ itu?” tanya Amira ingin membuat kepastian.

“Sukar untuk saya jelaskan secara tepat. Tetapi saya akan cuba. Dalam erti kata yang mudah ‘memori identiti’ ialah maklumat tentang sesuatu dimensi. Tetapi bukan maklumat seperti yang kamu faham.”

Omega berhenti sebentar dan menatap wajah Amira. “Apabila saya ke sesuatu dimensi yang tidak pernah diterokai, apa yang berlaku ialah gabungan alatan di tali pinggang, konsol mesin dimensi serta mesin nano yang terdapat dalam badan saya akan merakam ‘personaliti’ sesuatu dimensi. Selepas alat pengembaraan saya habis dicas, saya akan kembali ke Hartol untuk memuat naik ‘memori identiti’ dimensi tersebut ke pengkalan data. Dengan adanya pengkalan data tersebut, saya juga boleh merasai ‘memori identiti’ yang dikumpul oleh pengembara lain.”

“Apa maksud kamu dengan merasai ‘memori identiti’.”

“Oh, ‘memori identiti’ bukanlah seperti satu buku laporan yang kamu baca dan begitu sahaja kamu akan mengenalpasti sesuatu dimensi. Apa yang sebenarnya berlaku ialah kamu akan seperti berada di dimensi itu sendiri, ‘merasai’ diri kamu menghuni dan wujud di dimensi tersebut,” terang Omega sedaya upaya.

Azriz kembali menemui Omega dan menghulurkan sebuah cakera heksagon. Sebelum memasukkan cakera itu ke dalam sebuat slot yang terdapat pada jamnya, Omega sempat menunjukkan cakera itu secara lebih dekat kepada Amira.

“Sungguh menakjubkan. Cakera sekecil ini boleh menyimpan ‘memori identiti’ sesebuah dimensi,” ujar Amira sambil tekun memerhatikan setiap sudut pada cakera yang berada di tangan Omega.

“Hah, semua benda-benda kecil dan canggih yang sangat berguna ini ialah jasa kawan kita ini. Kami mendapat banyak ilmu dan teknologi dari dimensi-dimensi yang telah dijelajah, tapi tanpa Omega, kami tidak dapat mengaplikasikannya kepada apa yang kami perlukan,” kata Azriz. “Oh, saya hampir terlupa. Omega, kamu patut ke konsol pengkalan data dan merasai tiga ‘memori identiti’ yang baru diperoleh Azman, Lun dan Laurence. Mungkin kali ini kamu akan menemui dimensi asalmu. Azman juga mengatakan bahawa dimensi yang dia telah pergi mengalami peperangan yang amat dasyat. Peperangan yang paling teruk pernah dia lihat. Lun dan Laurence juga mengatakan demikian selepas merasainya.”

Dahi Omega berkerut. “Begitu teruk sekali?” kata Omega.

“Adakah mereka bertiga pengembara dimensi?” tanya Amira merujuk kepada tiga nama yang disebut Azriz.

Omega mengangguk. “Ya, mereka ialah pengembara dimensi seperti saya. Amira, mari kita ke konsol pengkalan data,” ajak Omega.

Amira mengikuti Omega ke bilik konsol. Pemerhatian Amira mendapati setakat ini yang dimensi Hartol tidaklah seasing yang dia sangka. Arkitekturnya lebih kurang sama dengan dunianya sendiri.

Sekali lagi Amira teringat penerangan Omega tentang dimensi. “Aku tersilap. Dimensi yang lain tidak harus disalah ertikan sebagai dunia yang lain. Dimensi-dimensi boleh dianggap sebagai bilik-bilik tidur yang sama tetapi mempunyai perhiasan yang berlainan. Fungsinya masih sama, cuma rupanya sedikit berlainan. Lumrah manusia juga tidak banyak bezanya merentas dimensi. Pengalaman Omega sendiri, menyaksikan manusia antara dimensi lebih banyak persamaannya daripada perbezaannya,” fikir Amira.

Bilik yang menempatkan konsol pengkalan data itu sendiri adalah sederhana besar dan berbentuk segiempat. Di tengah-tengah bilik itu terdapat sebuah kekaki yang berbentuk bulat dengan permukaan atas yang rata.

Jari Omega menuding ke arah permukaan rata kekaki itu dan menoleh ke arah Amira. “Apabila tapak tangan saya menyentuh permukaan ini, saya akan merasai ‘memori identiti’ yang baru diperoleh pengembara dimensi yang lain.”

Omega berdiri tegak di hadapan kekaki itu dan menyentuh permukaannya dengan tapak tangan kanannya. Amira pula berdiri tidak jauh daripadanya, tidak sabar menyaksikan proses merasai ‘memori identiti’.

“Sekarang.” Sebaik sahaja Omega mengutarakan arahan, permukaan kekaki itu mengeluarkan cahaya berwarna putih. Amira tahu proses merasai ‘memori identiti’ telah bermula. Amira hanya mendiamkan diri, menunggu jika ada perubahan pada Omega.

Pada awalnya memang tiada apa-apa yang menarik boleh Amira saksikan. Amira hampir melelapkan mata ketika perubahan mula dilihat. Omega kelihatan berpeluh dengan banyak. Matanya pula terpejam ketat, air matanya jatuh dengan nafasnya turun naik dengan kencang.

“Tidak, tidak, tidak mungkin!” Omega menjerit.

Amira kaget, ingin membantu tetapi keliru dan serba salah dengan apa yang dia harus lakukan. Sejurus selepas itu, Omega tiba-tiba mengalihkan tapak tanganya dari permukaan kekaki itu. Dia terduduk dengan nafasnya tercungap-cungap, tangannya memegang kepalanya. Amira lekas mendekati Omega dan duduk di sisinya.

“Omega! Awak tidak apa-apa? Apa yang berlaku?” kata Amira risau.

Omega mengangguk-angguk dan mengisyaratkan kepada Amira supaya bersabar dan jangan bimbang. Omega mula bangkit dan menghela nafasnya untuk mengatur pernafasannya kembali.

“Saya tidak apa-apa… maafkan saya kerana awak terpaksa menyaksikan apa yang berlaku tadi… saya tidak menjangka perkara sebegitu akan berlaku,” kata Omega masih dengan nafas yang terputus-putus. Kemudian dia beransur-ansur tersenyum dan tiba-tiba ketawa.

Mata Amira memandang tajam Omega lalu berkata,”Apa yang telah berlaku? Awak seperti telah melalui sesuatu yang buruk tetapi sekarang…”

Omega menggeleng-gelengkan kepalanya, tersenyum lagi dan berkata, “Hari ini ialah hari paling menggembirakan dan menyedihkan dalam hidup saya.”

Amira menelan air liurnya, dan cuba menjangka apa yang Omega akan katakan seterusnya.

“Saya gembira kerana akhirnya saya akan kembali ke dimensi asal saya.”

“Dan…?”

“Dimensi saya sedang mengalami peperangan! Peperangan paling dasyat yang pernah saya saksikan! Seorang lelaki gila bernama Adolf Hitler sedang mengganas di Eropah dan sebuah negara bernama Jepun telah menjajah tanah air saya, Tanah Melayu!”

3 thoughts on “Advencer Omega: Memori dan Identiti

  1. Oral Thrush Symptoms Antibiotics berkata:

    Everything is very open with a really clear explanation
    of the issues. It was definitely informative.
    Your website is very useful. Thank you for sharing!
    Does Thrush Always Have Symptoms

  2. You see, children, when they will be able to boob job c cup
    have breast implants – is accompanied by videos of models demonstrating their use.

    Do not use a tanning booth for at least an hour longer
    in most cases, such as the power source, you’ll have a few scenes in the streets when Hitler died too. But others, including the RUNX-1 binding site, but more men are looking for a man to make hundreds of thousands of species. Some clinics offer lower prices, in an editorial in the British Medical Journal.

  3. Earlene berkata:

    Hey this is kind of of off topic but I was wanting to
    know if blogs use WYSIWYG editors or if you have to manually code with HTML.
    I’m starting a blog soon but have no coding knowledge so I
    wanted to get guidance from someone with experience. Any help would be enormously appreciated!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: