Saya tidak akan beri alasan mengapa blog ini lama tidak dikemaskini. Hakikatnya ialah saya kemalasan dua sepanjang dua tiga bulan ini. Saya berharap untuk mengubah perkara ini. Jadi saya ambil masa (dan memaksa diri) untuk menulis ‘spotlight’ terbaru. Ini ialah sebuah ‘spotlight’ dan bukannya sebuah ulasan, jadi anda akan hanya akan dapat baca apa yang saya suka tentang sesebuah buku yang saya telah baca. Sila pergi ke pautan ulasan di bahagian maklumat buku untuk mendapatkan ulasan (yang lebih baik) daripada pembaca lain yang sempat saya temui di internet.
Tajuk: Transgenesis
Penulis: Amir Husaini
Penerbit: PTS Fortuna
Bil. Mukasurat : 376 halaman
Harga: RM 24.00 / RM 27.00 (Sabah & Sarawak)
ISBN: 9879675136023
Blog Rasmi Amir Husaini
Biodata Amir Husaini
Laman Web Rasmi PTS
Ulasan Transgenesis DI SINI, DI SINI, dan DI SINI,
Beli Transgenesis DI SINI
Sinopsis (dari laman web PTS):
Teknologi memindahkan genetik haiwan dan tumbuhan kepada embrio yang diklonkan daripada manusia sudah ditemui. Kini pakar genetik boleh mencipta manusia dengan kelebihan istimewa. Manusia dengan deria hidu sensitif seperti anjing, misalnya. Ataupun, manusia yang boleh menghasilkan makanan sendiri melalui fotosintesis. Inilah yang dilakukan oleh pakar genetik di Institut Trans-DNA, secara rahsia.
Sehinggalah segala-galanya terbongkar, apabila subjek eksperimen yang terbebas dari makmal mula membunuh orang awam….
Dalam Transgenesis: Bisikan Rimba, Amir Husaini menggabungkan bakat penulisan luar biasa dan pengetahuan saintifik menakjubkan bagi menghasilkan fiksyen sains thriller yang hebat lagi mendebarkan!
Transgenesis ialah sebuah sai fai tentang sebuah eksperimen yang gagal atau jadi huru hara (macam yang selalu ditulis oleh Michael Crichton*). Apabila eksperimen gagal ini mula mengorbankan nyawa, maka beberapa orang yang berkepentingan mula cuba untuk menyembunyikan hakikat ini. Walaubagaimanapun, ada pula pihak lain yang cuba untuk membongkar misteri ini.
Transgenesis memaparkan pandangan kedua-dua pihak (dan juga ‘hasil-hasil’ eksperimen tersebut). Oleh itu kita tahu motivasi semua pihak. Antagonis dan protagonis digarap supaya kita memahami mengapa mereka melakukan apa yang mereka lakukan. Mungkin ini akan sedikit menghilangkan elemen misteri dalam penceritaan tetapi percayalah bahawa banyak lagi yang disembunyikan oleh Amir Husaini.
Transgenesis ialah sebuah sai fai dan ini ditunjukkan dengan banyak perbualan antara watak tentang cabang sains biologi dan genetik (tidak lupa juga etika). Sebuah sai fai yang baik (pada pendapat saya) mestilah menyertakan persoalan falsafah dan Trangenesis juga tidak menghampakan saya dalam perkara ini.
Di samping itu, Amir Husaini tidak lupa memasukkan elemen islamik serta ketuhanan dalam Transgenesis. Saya yang terdedah dengan sai fai barat harus akui bahawa sedikit janggal dengan campuran ini. Ini ialah percubaan yang berani. Pada masa sai fai barat sangat memusuhi agama, elemen keagamaan adalah satu yang agak menyegarkan dan juga memberi satu identiti kepada sai fai melayu.
Apa yang saya juga suka dengan Trangenesis ialah kejutan yang diberikan pada penghujung cerita. Saya memang tidak sangka bahawa kisah ini akan bersambung, walaupun sebenarnya cerita yang terkandung di dalam buku ini sendiri ‘self contained’. Babak ala Sherlock Holmes pada penghujung juga memang sangat sureal buat saya.
Transgenesis ialah sebuah bacaan yang baik serta mempunyai identitinya tersendiri dengan mesej islamik dan moralnya. Ceritanya lancar dan penuh misteri. Tahniah Amir Husaini!
*Michael Crichton selalu menghasilkan karya sai fai yang bertemakan “Frankenstein”. Sains yang cuba bertindak seperti Tuhan akan selalunya membawa kemusnahan (lihat Jurassic Park dan Timeline).
**Si Rambut Hijau dan Bunga Kenanga? Nampaknya saya sudah hilang sentuhan….