Saintis dan Zombi

Tajuk: Jian
Penulis: Muhammad Fadli al-Akiti (Fadz)
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Bil. Mukasurat : 238 halaman
Harga: RM 10.00
ISBN: 9836283943
Laman Web Rasmi Muhammad Fadli al-Akiti
Laman Web Rasmi Dawama
Laman Web Rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka
Beli Jian DI SINI

Jian adalah antara buku sai fai melayu pertama yang saya baca dan novel pertama Muhammad Fadli al-Akiti (lebih dikenali sebagai Fadz, dan sangat ‘glamour’ dengan blog filemnya, Tonton Filem dan Kubu Buku).

Jian bukan sahaja ada saintis tetapi ia juga ada zombi. Maksud saya di Jian ada zombi… dan beberapa orang saintis selain beberapa orang kampung yang separa gila. Ya, Jian ialah nama sebuah daerah di Pahang di mana semua malapetaka yang diceritakan di dalam buku ini berlaku.

Kisah bermula apabila Dr. Amrin dan sahabatnya Dr. Leon menerima tawaran daripada seorang lelaki misteri bernama Dr. Razak untuk menyertai sebuah kumpulan penyelidik. Mereka ditugaskan untuk menyiasat dan menyelidik kesan daripada sebuah eksperimen kerajaan Malaysia yang mengalami malapetaka di sebuah kampung di daerah Jian 13 tahun sebelum itu.

Kedatangan kumpulan saintis ini dengan menyamar sebagai doktor-doktor yang ingin membuka sebuah klinik swasta di Jian dicurigai oleh ketua kampung (hmm… bijak juga orang tua ini) dan ini membawa beberapa konflik antara orang kampung dengan kumpulan saintis ini. Penyiasatan saintis-saintis ini juga serba sedikit membongkar rahsia yang ingin disimpan oleh penduduk kampung itu. Selain orang kampung dan saintis yang berada di Jian, terdapat juga subplot yang melibatkan juruteknik-juruteknik di sebuah stesen satelit.

Kebanyakan elemen sains yang ditunjukkan dalam Jian adalah berkaitan mikrobiologi. Satu cabang sains yang jarang ditemui dalam karya sai fai melayu yang pernah saya baca (kebanyakannya berkaitan angkasa). Babak eksperimen dipaparkan dengan teliti dan selari dengan cerita lalu mengelakkan ‘info dump’. Selain itu penggunaan rajah juga membantu pemahaman pembaca terhadap beberapa unsur teka-teki dalam cerita.

—mula ‘spoiler’—

Jika dalam filem zombi George Romero tidak pernah dijelaskan tentang asal usul kejadian zombi yang mengancam survival hero dan heroin, Fadz menerusi Jian bertindak sebaliknya dengan mengaitkan kejadian zombi dengan eksperimen yang telah dijalankan.

—tamat ‘spoiler’—

Selain itu, saya juga sangat suka babak aksi di hujung cerita yang suspen tahap dewa. Memang benar-benar mendebarkan dan antara adegan paling suspen yang pernah saya baca. (Babak bayar wang tebusan dalam “Satu Janji” karya Ramlee Awang Mursyid berada pada tahap paling suspen dalam senarai saya)

Akhir kata Jian ialah sebuah karya sai fai yang menghiburkan. Bahasa yang digunakan dan unsur saintifk yang dipaparkan adalah mudah. Jian sangat berbaloi dimiliki apatah lagi dengan harga yang begitu murah.

Advertisements

Cosmo dan Cenma Detara

Judul : Puisi Untuk Ezdyzuar
Penulis : Nisah Haron
Penerbit : Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd
Bil. Mukasurat : 312 halaman
Harga: RM 21.90
ISBN: 9789831922002
Laman Web Rasmi Nisah Haron
Laman Web Rasmi Al-Ameen Books
Beli Puisi untuk Esdyzuar DI SINI

Pernah disiarkan secara bersiri di majalah Tunas Cipta, ‘Puisi untuk Ezdysuar’ ialah novel ketiga Nisah Haron. Cerpen fantasi beliau, ‘Atlantis Duniaku Duniamu’, ‘Annyss Sophilea’, dan ‘Anugerah Amariss’ pernah memenangi hadiah sastera. Annyss Sophilea pula terpilih sebagai bacaan wajib KOMSAS.

Puisi untuk Esdyzuar berlaku di sebuah dunia yang terbahagi dua. Cosmo yang terletak di atas tanah dan Cenma Detara, sebuah dunia kristal di bawah tanah. Walaupun dipisahkan dengan hanya satu lapisan bumi, Cosmo dan Cenma Detara nyata berbeza dengan penduduk Cenma Detara mempunyai umur yang lebih panjang dan menggunakan teknologi yang berasaskan kristal. Pertembungan tamadun berlaku antara dua dunia ini apabila seorang arkelogis Cosmo bernama Esdyzuar dituduh melakukan jenayah di Cenma Detara.

Puisi untuk Esdyzuar diceritakan menggunakan sudut pandangan pertama dari kaca mata Aidynna, seorang peguam muda Cosmo yang ditugaskan untuk mewakili Esdyzuar. Walaubagaimanapun, konflik kepentingan berlaku apabila jenayah yang kononnya dilakukan oleh Esdyzuar melibatkan sesuatu daripada kehidupan Aidynna yang lampau.

Berbeza dengan karya fantasi lain yang pernah diterbitkan, Puisi untuk Esdyzuar tidak dipenuhi dengan adegan penuh aksi atau magik walaupun masih terdapat serba sedikit elemen fantasi dalam bentuk penggunaan teknologi kristal dan teleportasi serta Cenma Detara sendiri. Puisi untuk Esdyzuar boleh dikategorikan sebagai Thriller Fantasi kerana ia bergerak seperti sebuah drama penyiasatan tetapi berlatarbelakang sebuah dunia fantasi. Jika dibuang elemen fantasinya, Puisi untuk Esdyzuar boleh berlaku di dunia realiti.

Puisi untuk Esdyzuar memaparkan sebuah cerita yang menarik dan watak utama yang kuat. Walaupun saya sebagai seorang lelaki mempunyai sedikit masalah apabila membaca sudut pandang seorang wanita terutamanya apabila melibatkan emosi, oleh kerana Aidynna bukan watak wanita yang tipikal, tidak terlalu banyak ayat-ayat keluhan yang saya perlu tempuhi. Tetapi mengapakah Esdyzuar begitu menjengkelkan?

Harapan saya Nisah Haron akan menghasilkan lebih banyak lagi karya fantasi yang berkualiti. Saya amat teruja jika dapat melawat kembali Alstonia ataupun Octantis.

Sudah terbit dan berada di pasaran 2

Selain dua buku yang saya paparkan sebelum ini, sebuah lagi buku fantasi yang saya tertunggu-tunggu untuk baca ialah Urana Exham oleh Kusyi Hirdan. Diterbitkan oleh PTS Fortuna, Urana Exham ialah salah satu judul dalam barisan sai fai dan fantasi PTS.

“Tahun 4050. Dunia Oshab bergolak. Tiga bangsa majoriti berebut kuasa. Bangsa-bangsa minoriti menjadi mangsa. Pemimpin yang didorong dendam dan tamak haloba, dengan bala tentera separuh robot separuh manusia, bersengketa sesama mereka.
Exham, cucu pemimpin bangsa majoriti Super, dan Suryan M, abang pemimpin bangsa majoriti Madawi, berpaling tadah dan bersatu. Mereka membentuk persatuan pemberontak Medex, kumpulan yang beroperasi secara haram demi menghapuskan kezaliman di Dunia Oshab. Urana, gadis dari kaum minoriti Songkok, menyertai Medex. Di situ Urana bertemu Exham.
Pertemuan itu sungguh bererti, namun pertemuan itu jugalah yang mencetus tragedi….”
Sinopsis dan foto diperoleh dari laman web PTS.

Songkok? Lapan hari lagi….

Laman Web Rasmi Kusyi Hirdan
Beli Urana Exham DI SINI

Sudah terbit dan berada di pasaran!

Pengesahan sudah diperolehi dari askar upahan di KLIBF bahawa dua buku sai fai di bawah sudah dibeli. Maka saya terpaksa bersabar yang penuh derita sementara menunggu askar upahan saya balik ke Sarawak, sebelum saya boleh membaca buku-buku tersebut.

Saga Horizon karya Fadli al-Akiti ialah sebuah sai-fai bertemakan post-apocalypse terbitan Alaf 21. Karya sai fai sulung Fadli al-Akiti berjudul Jian diterbitkan oleh DBP (Bakal di’spotlight’kan di sini, insyallah).
“Pada 3024 A.D… Manusia melata bumi diburui Jembalang Bertulang Besi, entiti yang menakutkan. Makhluk asing? Mereka tidak tahu, tetapi manusia kini bukan pemerintah bumi lagi. Datang seorang perwira bernama Rogue dan beberapa manusia lain yang memerangi jembalang-jembalang ini kerana dendam kesumat. Rogue bertemu Jafni, kemudian Sobri, dan akhirnya UMMI. Mereka dan Rogue akan bersama-sama merungkai rahsia di sebalik kezaliman Jembalang Bertulang Besi, rahsia yang akhirnya menggoyah jiwa mereka akan satu kebenaran yang menakutkan tentang manusia dan pilihannya.” Sinopsis dan foto diperoleh dari blog penulis.
Blog Rasmi Fadli al-Akiti
Ulasan “Jian” DI SINI dan DI SINI

Takluk Jagat: Bisikan Arisha oleh Zaki Zainol (Kangag) adalah salah satu tajuk dari barisan sai fai dan fantasi terbitan PTS. Ia adalah buku pertama daripada Trilogi Takluk Jagat.

“Senjata keramat yang dimiliki mempengaruhinya. Hati yang baik dan pemurah telah dikelabui dendam. Pada saat itu kekuatannya meningkat berkali-kali ganda. Anak matanya berubah daripada hitam kepada kelabu. Dia bersumpah akan menghapuskan sesiapa sahaja yang dambakan Takluk Jagat, termasuk keluarganya sekali, demi melindungi kaum Bunian. Dan pemimpin kaum Bunian turut bersumpah akan sedaya upaya menunaikan apa sahaja permintaannya.” Sinopsis diperolehi dari Laman Web PTS.
Blog Rasmi Zaki Zainol
Beli Bisikan Ariasha DI SINI

Epik Pedang dan Kristal

Entri ini bukan Ulasan Buku (saya bias) atau Previu. Saya panggil ia SPOTLIGHT. Maka isinya kurang ulasan kritis dan lebih kepada perasaan dan pengalaman saya sahaja.

sayap2-s.jpg

Tajuk: Sayap Adinila (Saga Empayar Kristal)
Penulis: Firdaus Ariff
Penerbit: PTS Fortuna
Bil. Muka Surat: 265 (termasuk lampiran)
Harga: RM 19.00 (Sem. Malaysia), RM 23.00 (Sabah/Sarawak)
ISBN: 9789831922002
Laman Web Rasmi Firdaus Ariff
Laman Web Rasmi PTS
Baca 2 bab pertama serta lampiran Sayap Adinila DI SINI

Saya sangat kagum dengan PTS kerana mengambil inisiatif untuk menerbitkan karya-karya jantan sebegini. Jika tidak kerana PTS mungkin saya hanya dapat bayangkan lanskap buku Malaysia pada masa hadapan di mana hanya buku sastera yang dapat dibaham oleh pembaca lelaki.

Semenjak saya tahu dengan kewujudan program PTS Fortuna untuk memperkenalkan genre Sai Fai dan Fantasi dengan label.. emm… Sai Fai dan Fantasi, melonjak-lonjak gembiralah hati saya. Juga tidak sabar untuk membaca karya-karya yang bakal diterbitkan. Dan selepas karya pertama dalam label ini bertajuk Opera Angkasa selesai dibaca, semakin geramlah saya hendak membaca novel sai fai dan fantasi melayu seterusnya. Hilang juga kehausan saya suatu hari dengan adanya Sayap Adinila di tangan saya.

Sayap Adinila ialah novel sulung Firdaus Ariff dan buku pertama dari Saga Empayar Kristal. Beliau ialah seorang ‘award winning blogger’ di Malaysia dengan blognya Studio Inspirasi, blog yang saya layari secara obsesnya setiap hari. Mungkin pernah mencapai puluhan klik butang Reload dalam sehari.

Saya tidak sabar-sabar hendak membaca Sayap Adinila semenjak Saudara Firdaus memaparkan wajah kulit buku sulungnya di blog beliau. Amat beruntung juga dapat beli Sayap Adinila terus daripada Saudara Firdaus. Tambahan pula telah siap ditandatangan dan dapat dibeli dengan harga semenanjung (yang jauh lebih murah!). Kos penghantaran pula ditanggung Saudara Firdaus sendiri (Terima Kasih!).

Sayap Adinila mengisahkan pengembaraan Putera Fauzi dari Empayar Nilam dan rakan-rakannya, Lim dan Syah dalam mencari dua buah kapal udara bernama Rajawali Biru dan Rajawali Merah. Mereka terpaksa mencari dua kapal udara yang belum tentu wujud ini apabila Empayar Nilam telah diugut oleh Kerajaan Angkor, yang telah menculik salah seorang gabenor Empayar Nilam. Kerajaan Angkor mahukan Rajawali Merah dan Rajawali Biru sebagai pertukaran.

Dunia fantasi Empayar Kristal* daripada pengamatan saya ialah sebuah realiti alternatif yang berlaku di bumi ini sendiri (Real World Alternate Timeline?). Berlaku sekitar kurun ke 15 di mana wujud beberapa empayar dan negara-negara bebas. Saya bayangkan kisah dalam Sayap Adinila berlaku di Asia Tenggara berdasarkan nama Kerajaan Angkor.

Teknologi dunia ini berpaksikan teknologi kristal yang mempengaruhi ciptaan-ciptaan masyarakat dari pengangkutan awam ke persenjataan. Antara senjata yang diperbuat daripada teknologi kristal ialah pedang kristal yang menjadi senjata pilihan dalam dunia Empayar Kristal.

Pedang-pedang kristal inilah yang menjadi kegemaran saya ketika membaca Sayap Adinila kerana ada pedang kristal maknanya ada adegan aksi dan bergasak. Saya berterima kasih kepada Saudara Firdaus kerana menerangkan adegan berlawan dan aksi dengan teliti dan lebih panjang daripada biasa. Teruskan! Dan jika lebih ganas, itu adalah lebih baik!

Selain adegan gasak, Sayap Adinila diimbangi dengan adegan yang melibatkan minda. Saya tidak mahu ‘spoil’kan di sini, maka pembaca wajib beli dan baca sendiri. Sayap Adinila berakhir dengan beberapa persoalan yang masih belum terjawap. Tentunya untuk sekuel nanti (Paruh Adinila? Haha, gurau sahaja!) persoalan ini akan dirungkai. Jangan lupa beli Sayap Adinila di kedai buku berhampiran sekarang!!! Saudara Firdaus, teruskan usaha!!! Dan saya mahukan lebih banyak darah!!!

*Apabila dibuang saga, jadilah Empayar Kristal. Tapi perlu pengesahan dari Saudara Firdaus sendiri, apakah sebenarnya gelaran kepada dunia/universe ciptaannya.